Tun Datuk Haji Mohd. Said bin Keruak telah dilahirkan pada 15 November 1926 di Kampung Pirasan, Kota Belud.  Ayahnya ialah O.K.K. Keruak bin Beruk, iaitu Ketua Anak Negeri.  O.K.K. Keruak telah meninggal dunia ketika Tun Said hanya berumur empat tahun.  Ibunya bernama Dampok binti Andarsi. Tun Said mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Hjh. Bandong Hasbollah, iaitu anak perempuan O.K.K. Hasbollah dari Kota Belud.  Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan lima orang anak yang terdiri daripada empat orang perempuan dan seorang lelaki.  Anak pertama ialah Datin Jahah Saidatul Badru, kedua ialah Datin Sandralilah, anak ketiga ialah Datuk Mohd Salleh, anak keempat ialah Puan Saidatul Badariah dan anak bongsu Hajah Zainoriah.  Tun Said adalah seorang suami dan ayah yang penyayang.  Walaupun sibuk dengan tugas rasmi, beliau akan membahagikan masanya bersama-sama dengan keluarga tercinta.

Tun Said mempunyai nama panggilan mesra dalam keluarga, iaitu “Sitam” dan ini merupakan panggilan mesra dari arwah emaknya.  Tun Said juga digelar sebagai “Muhammad Said” di kalangan sahabat handai.  Beliau meminati sukan sejak remaja, seperti bermain bola sepak, badminton dan tenis.  Beliau juga gemar mendengar cerita rakyat dan mahir bermain muzik tradisional. Tun Said dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, menghormati orang tua, penyabar, suka membantu kawan-kawannya, pemurah, suka bergaul dengan masyarakat tanpa mengira status dan pangkat.  Tun Said boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Bajau, serta berbahasa Dusun, Jepun, Hokkien dan Hakka. Tun Said telah mula bersekolah ketika berusia tujuh tahun.  Beliau menghadiri Sekolah Rendah Kerajaan Kota Belud sehingga darjah lima pada tahun 1941.  Ini merupakan kelulusan akademik tertinggi dalam sistem persekolahan vernacular di bawah pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Kota Belud.  Pada tahun 1941, Tun Said mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian di Maktab Pertanian Kuching.  Tun Said juga menghadiri kelas malam untuk mempelajari bahasa Inggeris pada tahun 1947 dan seterusnya melanjutkan pelajaran di London selama setahun dalam bidang pentadbiran dan pengurusan.

Tun Said mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1941 di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara.  Jawatan pertamanya adalah sebagai Kerani Percubaan di Pejabat Daerah Papar.  Semasa pendudukan tentera Jepun ke atas Borneo Utara, beliau telah menjadi Penolong Bendahari di Jesselton di bawah Kerajaan Tentera Jepun.  Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Tun Said telah kembali bertugas sebagai kerani di Pejabat Daerah Kota Belud.  Pada 1960-an, beliau dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Majlis Tempatan Daerah Kota Belud dan juga dilantik sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Perundangan Negeri (Unofficial Member of the Legislative Council).  Beliau terkenal dengan sifat bertanggungjawab semasa menjalankan tugasnya.  Beliau sentiasa memastikan kerja-kerja diuruskan dengan baik dan bersedia membuat tinjauan ke kampung-kampung semasa menjalankan tugas.

Tun Said telah dianugerahkan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran “Tun” , Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaarn “Tan Sri” dan juga Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”.

Tun Said telah dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ketujuh pada tahun 1987 dan bersara pada tahun 1995.  Tun meninggal dunia pada November tahun yang sama.